fb fb fb fb fb

Yusharifuddin Ketua Polis Daerah Kangar baharu

KANGAR, 13 April- Bekas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Yusharifuddin Mohd Yusop dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kangar yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Beliau menggantikan ACP Wari Kiew yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata pihaknya mengucapkan tahniah atas pelantikan Yusharifuddin dan berharap beliau dapat memberi komitmen terbaik.

"Perlis merupakan sebuah negeri yang tenang namun saya harap beliau dapat menyesuaikan diri dan memberi komitmen terbaik khususnya buat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Wari (ACP Wari Kiew) kerana sentiasa bersama dalam mengharungi cabaran penugasan khususnya sepanjang norma baharu di daerah ini," katanya berucap pada Majlis Gerak Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kangar di sini hari ini.

Sementara itu, Yusharifuddin berkata beliau mempunyai tiga fokus utama iaitu meningkatkan integriti pegawai dan anggota IPD Kangar, membanteras aktiviti penyeludupan dan melumpuhkan aktiviti dadah di daerah berkenaan.

"Saya mohon kerjasama semua pihak agar dapat bersama-sama membantu dalam memberikan perkhidmatan terbaik. Tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah amat besar dan insya-Allah saya akan teruskan legasi yang ditinggalkan sebelum ini," katanya.

(Foto fail)

Wari dalam ucapannya pula berkata sepanjang enam tahun bertugas di IPD Kangar, pelbagai cabaran ditempuhi khususnya sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata ketika itu pihaknya perlu membuat keputusan yang cepat dan tepat demi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Pelbagai pengalaman telah saya peroleh sepanjang berkhidmat di IPD Kangar malah saya dan pasukan juga berjaya mengenal pasti aktiviti penyeludupan khususnya di Kuala Perlis hingga membawa kepada banyak tangkapan dan rampasan," katanya.

Media Baharu