BUKIT MERTAJAM, 7 Julai - Youth Robot Challenge 2024 anjuran Kementerian Belia dan Sukan menjadi platform perkongsian idea, pengetahuan dan pendedahan golongan belia dalam bidang teknologi robotik di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata pertandingan robotik yang diwujudkan sejak 2018 itu juga telah memberi pelbagai manfaat termasuk pendedahan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Tahun ini kami menerima penyertaan yang semakin tinggi dan ia menandakan satu indikator yang sihat terutama sekali dalam penglibatan serta peningkatan kualiti kemahiran dalam bidang TVET dan juga teknologi robotik yang mampu ditonjolkan oleh pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
"Selain itu, pertandingan berkenaan juga dapat mencungkil bakat dan menyerlahkan potensi mereka dalam bidang itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Youth Robot Challenge 2024 dan Anugerah Pertandingan Innovation Development Through Educational Activities 2024 (iDEA'24) di IKTBN Bukit Mertajam di sini hari ini.
Beliau berkata pertandingan Youth Robot Challenge itu akan diteruskan pada tahun hadapan selain merancang untuk berkolaborasi dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Sumber Manusia.
Pertandingan itu juga, katanya menekankan kepentingan teknologi dalam memacu inovasi serta pemahaman mendalam terhadap robotik dalam pelbagai konteks termasuk situasi semasa yang dekat dengan rakyat.
"Youth Robot Challenge ini tidak hanya merangsang minat terhadap sains dan teknologi dalam kalangan belia, tetapi juga memupuk semangat kreativiti dan kerjasama berpasukan... ini komitmen KBS dalam membangunkan bakat tempatan dalam bidang yang semakin penting ini," katanya. - BERNAMA