ALOR SETAR, 28 Disember- Seramai 180 anak-anak yatim dan golongan asnaf dari enam daerah di Kedah menerima manfaat menerusi Majlis Pengurniaan Berkhatan serta penyampaian sumbangan anjuran Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) hari ini.
Majlis yang berlangsung pagi tadi melibatkan peserta dari daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang dan Yan.
Penaung YAYSH, Che Puan Besar Haminah Hamidun bertitah program berkenaan merupakan antara inisiatif kebajikan terbesar anjuran yayasan itu bagi tahun ini, bertujuan meringankan beban ibu bapa dan penjaga, selain memberi penekanan terhadap kepentingan kebersihan fizikal serta tanggungjawab dalam penjagaan kesihatan kanak-kanak.
“Program ini bertujuan membantu anak-anak yatim dan golongan asnaf yang kurang berkemampuan, seperti yang dilaksanakan setiap tahun. Tahun ini, seramai 41 orang anak yatim terlibat dalam program berkhatan ini.
“Saya telah memulakannya sejak 2011 dan Alhamdulillah ia dapat diteruskan secara konsisten hingga ke hari ini. Jumlah sumbangan yang diterima setiap tahun juga kekal dan tidak banyak berubah. Program ini memang dikhususkan untuk anak-anak yatim dan biasanya diadakan pada hujung tahun.
“Saya berpesan kepada anak-anak supaya belajar rajin-rajin, ada minat dalam apa jua bidang yang diceburi dan jangan malas,” titahnya.
Tuanku Haminah bertitah pada Majlis Pengurniaan Berkhatan serta Penyampaian Sumbangan Persekolahan 2026, di sini.
Penganjuran majlis tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan YAYSH dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan yang memerlukan terus terbela.