fb fb fb fb fb

Yayasan Bank Rakyat salur bantuan persekolahan kepada pelajar Parlimen Padang Besar

Sekitar Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan

PADANG BESAR, 9 November- Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM30,000 sebagai bantuan persekolahan kepada 300 pelajar terpilih bagi Parlimen Padang Besar.

Bantuan tersebut khusus bagi membantu murid-murid yang kurang berkemampuan bagi menyediakan keperluan persekolahan dan perbelanjaan harian.

Menurut Timbalan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, sumbangan yang disalurkan ini akan memberi manfaat kepada pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 terpilih mewakili empat buah sekolah menengah di Padang Besar.

Jelasnya, walaupun jumlah sumbangan yang diterima setiap pelajar kecil, namun pihak Yayasan Bank Rakyat mengharap ianya dapat memberi kegembiraan buat mereka dan sebagai pencetus semangat untuk bersekolah.

Sekali gus dapat melahirkan pelajar yang seimbang dan harmoni dalam aspek intelek, kerohanian, emosi dan jasmani serta berjaya sehingga peringkat tertinggi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan Yayasan Bank Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Jaafar Hassan.

Secara keseluruhan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah memperuntukkan RM100,000 yang diagihkan kepada 3 kawasan Parlimen iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar dengan 1,000 pelajar terpilih.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Sosial dan Pendidikan Padang Besar (SEDAR), Ruzaini Rais, inisiatif dilaksanakan Yayasan Bank Rakyat perlu dijadikan contoh dan berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu pelajar yang memerlukan bagi memartabatkan pendidikan.

Pelajar turut diseru untuk merebut peluang melanjutkan pendidikan masing-masing sama ada dalam bidang akademik atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi kejayaan di masa depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE