fb fb fb fb fb

Yang di-Pertuan Agong berkenan sempurna Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat

KUANTAN, 4 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat di Altitud Tinggi @ Mardi Himal, hari ini.

Majlis itu juga sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-64.

Keberangkatan baginda tiba diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan.

Seri Paduka Baginda ketika bertitah menzahirkan rasa terima kasih kepada penganjur khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana kesungguhan mengadakan ekspedisi mencabar itu.

Baginda bertitah, pengalaman yang diperoleh daripada misi tersebut boleh dibukukan untuk dijadikan rujukan.

"Dan saya harap pengalaman ini akan dibukukan, akan dipraktikkan supaya kita jadikan misi ini,.misi pengajaran, mengajar kita bawa balik dan kita praktik, kita boleh beri pengajaran kepada semua pendaki-pendaki akan datang. Mungkin dalam itu juga boleh jadi kumpulan penyelamat mewakili negara, pergi ke negara-negara lain untuk membantu mereka yang bermasalah di bukit-bukit yang tinggi dan saya percaya ini akan mengharumkan nama negara kita dan apabila kita dapat wujud satu kumpulan penyelamat daripada JBPM yang terkenal di rantau ini dan di dunia ini," titah Al-Sultan Abdullah.

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah
agar peserta mengamalkan Konsep 'buddy system” agar dapat
memastikan keselamatan dan taraf kesihatan rakan-rakan dalam pasukan)

Pada majlis itu, baginda turut mengurniakan peralatan keagamaan untuk kegunaan masyarakat islam dan jemaah di Masjid Mulling di Daerah Tanahu, Wilayah Gandaki, Nepal.

Dalam pada itu, seramai 50 peserta yang dipilih melalui saringan ujian ketahanan mental dan fizikal serta dua pegawai pengiring menyertai ekspedisi tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, ekspedisi tersebut antara lain mampu dijadikan latihan buat pihaknya dalam misi menyelamat terutama melibatkan bencana alam.

"Ianya dibuat bertujuan untuk pertamanya kita melihat bagaimana keupayaan pasukan menyelamat khususnya daripada JBPM, untuk berkoordinasi dalam situasi penyelamatan iaitu tinggi. Ianya lanjutan daripada kita punya penghantaran pegawai di Turkiye baru-baru ini untuk membantu mangsa gempa bumi. Jadi kita merasa bahawa penyelamatan di altitud tinggi ini merupakan satu keperluan untuk kita biasakan diri jika berlaku kejadian seumpama di Turkiye itu dan ianya berlaku kawasan-kawasan seperti Nepal , Tibet dan seumpanya," kata Nor Hisham, di sini.

Antara agensi terlibat termasuk daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, , Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia dan media.

Ekspedisi ini akan ke Mardi Himal Base Camp pada ketinggian 4,500 meter mulai 7 Ogos dan dijangka berakhir pada 17 Ogos 2023.

Media Baharu