KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Sejumlah RM1.5 juta disalurkan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai di Taman Mayang Fasa 2, Kuala Kangsar.
Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek tersebut diisytihar terbengkalai kerana tidak memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (CCC) berikutan loji rawatan kumbahan sedia ada belum mendapat perakuan daripada pihak Indah Water Konsortium.
Menerusi peruntukkan di bawah inisiatif Belanjawan 2023, beliau berkata kerja-kerja menaik taraf loji tersebut akan dilaksanakan sehingga keseluruhan projek memperoleh CCC.
(Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir)
"Ini adalah inisiatif bagi bajet tahun 2023 ketetapan yang telah dibuat oleh pihak kementerian agar projek di sini dan juga telah diberikan komitmen oleh MPKK bahawa projek ini insya-Allah akan siap pada hujung tahun ini, Disember 2023 yang mana selepas semua proses itu selesai kita mengharapkan agar projek ini dapat dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai menjelang tahun hadapan", katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi lawatan kerja di tapak projek perumahan berkenaan di Kuala Kangsar.
Projek Taman Mayang Fasa 2 yang terdiri daripada 65 unit rumah teres dua tingkat serta 22 unit rumah berkembar dua tingkat diisytiharkan terbengkalai pada September 2018 dengan kemajuan keseluruhannya telah mencapai 95 peratus siap.
Di Perak, terdapat lima projek perumahan terbengkalai daripada 114 projek direkodkan sehingga 30 Jun 2023.