fb fb fb fb fb

YADIM Pahang cari dai'e muda Orang Asli bantu sebar ilmu fardhu ain 

FOTO RTM

KUANTAN, 30 Januari- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pahang kini dalam usaha untuk mencari dai'e muda dalam kalangan Orang Asli bagi program Dakwah Lapangan, dalam usaha menyebarkan ilmu fardu ain di perkampungan Orang Asli, di negeri itu.

Mereka yang layak hanya perlu lulusan sekolah agama dan akan menerima elaun sekurang-kurangnya RM1,500 setiap bulan sebagai galakan kerana membantu kerja-kerja dakwah.

Pengarahnya, Alwi Muda berkata, mereka yang dilantik akan diberi latihan asas di Institut Latihan Dakwah YADIM selama tiga bulan mengenai ilmu fardu ain, bacaan Iqra'dan Al-Quran, tahsin solat, solat jenazah dan penyembelihan.

Mereka kemudiannya akan diberikan pentauliahan sebagai dai'e Orang Asli dan boleh berdakwah di perkampungan sendiri di samping perlu memberikan laporan bulanan aktiviti-aktiviti dakwah mereka kepada pihak YADIM.

Ketika ini, terdapat sekumpulan enam orang Dai'e Muda YADIM membantu usaha dakwah di perkampungan Orang Asli namun jumlah itu tidak mencukupi di samping terdapat halangan seperti bahasa dan budaya.

"Pendakwah Orang Asli ini sangat penting sebab, antara halangan kita dengan masyarakat Orang Asli ni adalah kekangan bahasa, budaya jadi bila wujud halangan bahasa dan budaya menyebabkan ada satu jarak antara kita dengan mereka.

"Maka antara langkah yang cuba dibuat oleh YADIM ialah kita mencari pendakwah dalam kalangan Orang Asli sendiri yang sudah pasti tahu akan budaya dan bahasa mereka, jadi pihak YADIM mencari seramai mungkin pendakwah dalam kalangan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat YADIM Negeri Pahang di Kuantan.

Pada Disember lalu, Dai'e Muda YADIM melakukan kerja dakwah di Kampung Orang Asli Terisu, Cameron Highlands, Pahang dengan bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pejabat Agama Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Mereka perlu berkampung selama 20 hari di kampung tersebut untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu fardu ain di kalangan masyarakat orang asli.

Pada Februari depan, Dakwah Lapangan dijangka dilaksanakan di Kampung Orang Asli Sungai Kuching, Jerantut, Pahang.


3001 DAKWAH ASLI PAHANGPengarah YADIM Pahang, Alwi Muda

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE