JOHOR BAHRU, 2 Julai- Ibadah korban terus dilaksanakan pada hari terakhir hari raya Aidiladha di Johor.
Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor, Muhamad Ammar Abdullah berkata dua ekor lembu dikorbankan pada program yang bermula pada pukul 7.30 pagi tadi.
Ia bertujuan meraikan gelandangan dan penduduk di Flat Larkin, Johor Bahru sempena sambutan hari raya itu.
"Daging ini untuk gelandangan. Kita akan masak untuk makan bersama mereka dan selebihnya daging mentah itu, kita akan edarkan kepada 300 keluarga di kawasan perumahan Larkin.
Insya-Allah, ia akan diedarkn petang ini melalui jawatankuasa bertugas dan gelandangan ini akan disajikan makanan yang kami masak nanti," kata Ammar kepada pemberita selepas selesai sesi penyembelihan lembu korban di Anjung Singgah Yayasan kebajikan Negara, Johor di Taman Nong Chik, di sini.
Program berkenaan merupakan anjuran YADIM Johor bersama beberapa agensi lain seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Nagara Johor dan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik negeri yang memanfaatkan kira-kira 500 penerima.
(Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor, Muhamad Ammar Abdullah)