fb fb fb fb fb

WYSII 2025 terima MBOR, Malaysia juara keseluruhan

Salah satu pasukan sedang membentangkan inovasi kepada panel juri

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pertandingan STEM antarabangsa dengan penyertaan belia terbesar untuk tahun 2025.

Pertandingan kali ke-4 itu diungguli Malaysia yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan WYSII 2025, diikuti Thailand di tempat kedua dan Indonesia di tempat ketiga.

Ia disertai seramai 641 peserta dari sembilan negara (Malaysia, Thailand, Indonesia, Itali, Kazakhstan, Bosnia dan Herzegovina, Romania, Filipina, dan Nepal) dengan membawa bersama 284 projek.

Pemenang utama Pembentangan Pengurusan Pendidikan Terbaik milik Sekolah Kebangsaan (SK) Rapat Setia, Perak; manakala Kategori Guru Terbaik (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng, Perak).

Sementara itu Kategori Kolej & Universiti Terbaik menjadi milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak; Kategori Sekolah Menengah Terbaik (Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mersing, Johor) dan Kategori Sekolah Rendah Terbaik (SK Rapat Setia, Perak)

Anugerah WYSI International Leadership Teachers Award 2025 turut disampaikan kepada Dr. Mior Hamdan Ghazali (Kategori Profesional/Pengurusan) dan Amiruddin Razali dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Ampang (Kategori Guru).

Acara yang dianjurkan Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya dan Universitas Negeri Medan (UNIMED) pada 23 hingga 27 Februari lepas itu terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah, mahasiswa, pensyarah, guru, pegawai pendidikan serta ibu bapa.

Selain itu ia juga merupakan platform utama kepada bakat muda seawal usia tujuh tahun untuk membentangkan penyelesaian inovatif, efektif dan lestari berasaskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Presiden MYSO, Razmi Abdul Razak berkata, acara inklusif itu mempamerkan semangat inovasi antarabangsa dan menyatukan komuniti pendidikan global.

"WYSII 2025 bukan sekadar pertandingan; ia merupakan satu gerakan global yang memupuk pemikiran kreatif, kerjasama antarabangsa, dan inovasi yang membawa impak positif kepada komuniti lokal dan global.

"Kami berhasrat melahirkan generasi muda yang berani meneroka penyelesaian baharu bagi cabaran masa depan," katanya.

Para peserta berpeluang mempersembahkan idea melalui sesi pembentangan, pameran inovasi, serta sesi soal jawab bersama panel pakar dan juri berpengalaman.

Pengenalan lima elemen utama dalam WYSII 2025 iaitu Inovasi dan Teknologi; Kelestarian dan Ekopelancongan; Warisan Budaya dan Kreativiti; Pengiktirafan dan Persaingan Global dan Jaringan Antarabangsa dilihat memberi impak ketara kepada masyarakat.

Majlis itu turut dihadiri Konsul Jeneral Malaysia di Medan Shahril Nizam Abdul Malik; wakil UNIMED Aristo Hardinata; wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Dr. Mohd Azly Zakaria; wakil Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Norwani Mamad; dan wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Perak Dr. Mior Hamdan Ghazali.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI