fb fb fb fb fb

MCMC fail tindakan sivil ke atas dua saluran di Telegram

Gambar fail.

CYBERJAYA, 19 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram iaitu 'Edisi Siasat' dan 'Edisi Khas'.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua saluran berkenaan dikenal pasti melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan menyebarkan kandungan yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Tindakan itu merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) ASP(C).

“Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulangkali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC," kata kenyataan itu.

MCMC juga memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran dan penerbitan semula kandungan memudaratkan tersebut

“Tindakan diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam dilindungi. Pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi," kata kenyataan itu lagi.

MCMC turut mengingatkan semua penyedia platform media sosial agar bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.

Tindakan akan diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN