fb fb fb fb fb

Wat Siam Bakar Bata di Kedah jadi tumpuan sempena Wesak

FOTO RTM

ALOR SETAR, 12 Mei- Wat Siam Bakar Bata di sini menjadi antara lokasi tumpuan penganut Buddha di Kedah sempena sambutan Hari Wesak yang diraikan hari ini.

Lebih 500 penganut Buddha termasuk masyarakat Siam daripada pelbagai latar belakang dan usia hadir bagi melaksanakan upacara keagamaan serta menzahirkan harapan kepada keamanan dan kemakmuran negara.

Presiden Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia, Datuk Seri Boon Som Inong menyeru masyarakat untuk terus memperkukuh perpaduan dan menghadapi cabaran ekonomi secara bersama.

"Kita harus berbangga kerana Malaysia ini aman dan damai, kita berganding bahu memajukan negara tanpa mengira agama dan bangsa. Jadi marilah kita rapatkan barisan perpaduan antara kita dan memantapkan ekonomi negara serta bersatu untuk menghadapi cabaran ekonomi yang tidak menentu," katanya.

Usahawan, Datin Seri Wendy Tham pula berharap semangat perpaduan dan keharmonian sedia ada tidak digugat oleh unsur perkauman yang semakin ketara di media sosial.

"Keadaan harmoni seperti ini perlu dipelihara supaya tidak timbul pertelingkahan. Sejak kebelakangan ini, kita lihat ada ucapan bersifat ekstrem mengenai perkauman di media sosial. Harapan saya, sifat-sifat seperti ini dapat dibuang jauh-jauh," katanya.

Sementara itu, sukarelawan Tiew Lee Lian turut menzahirkan doa agar rakyat Malaysia terus dilimpahi kesejahteraan.

"Harapan saya semoga semua kawan-kawan hidup bahagia, murah rezeki dan sihat selalu," ujarnya.

Hari Wesak merupakan hari penting dalam ajaran Buddha yang memperingati kelahiran, pencerahan dan kewafatan pengasasnya, Siddharta Gautama Buddha.


(Dari kiri:  Boon Som Inong, Wendy Tham dan Tiew Lee Lian)

SITI AISHAH MD ISA