fb fb fb fb fb

Waspada, penipuan pelaburan guna memorandum IM palsu

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 6 September 2024- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan kepada orang ramai agar berwaspada mengenai penipuan pelaburan yang menggunakan Memorandum Maklumat (IM) palsu.

Taktik berkenaan mendakwa IM tersebut telah diserahkan atau disahkan oleh SC, sedangkan hal itu tidak berlaku.

"Di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), syarikat awam tidak tersenarai yang mengeluarkan IM untuk mengumpul dana dikehendaki menyerahkannya kepada SC dalam tempoh tujuh hari selepas terbitan kepada bakal pelabur.

"Walau bagaimanapun, penyerahan IM tidak dianggap sebagai pengesahan oleh SC," menurut kenyataan hari ini.

SC turut memaklumkan pihaknya telah mengesan syarikat tersebut mengelirukan pelabur dengan mendakwa IM telah diserahkan, yang memberikan kredibiliti palsu kepada skim pelaburannya.

"SC ingin mengesahkan bahawa syarikat itu tidak menyerahkan sebarang IM kepada SC dan mengesyaki bahawa ia adalah sebahagian daripada penipuan pelaburan," menurut kenyataan.

Sehubungan itu tindakan segera telah diambil terhadap syarikat tersebut termasuk memfailkan laporan polis dan memasukkan syarikat terbabit dalam Senarai Makluman Pelabur SC di https://www.sc.com.my/investor-alert-list.

SC menegaskan bahawa orang ramai perlu menyemak sebarang tawaran pelaburan yang dikaitkan dengan nama SC atau pegawainya untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"SC memandang serius perkara ini, kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa SC menyokong dan meluluskan produk pelaburan berkaitan.

"Pihak awam amat digalakkan untuk mengesahkan sebarang tawaran menggunakan nama SC atau mana-mana pegawainya, dan melaporkan perkara ini serta sebarang aktiviti atau maklumat pelaburan yang mencurigakan kepada SC.

"Ini akan membantu melindungi pelabur daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum," menurut kenyataan.

Orang ramai boleh mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker.

Sebarang aktiviti atau tawaran pelaburan yang mencurigakan boleh dilaporkan kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di talian +603 6204 8999 atau melalui e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

SITI AISHAH MD ISA