fb fb fb fb fb

Waspada iklan pekerjaan luar negara tawar gaji lumayan

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Jangan mudah terpedaya dengan iklan pekerjaan luar negara yang menjanjikan tawaran gaji lumayan di media sosial.

Itu peringatan penting buat golongan belia agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.

Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata mereka yang berminat dinasihatkan agar merujuk Kementerian Luar terlebih dahulu.

Sekiranya tawaran pekerjaan berkenaan disahkan sahih, langkah seterusnya boleh diambil mengikut prosedur yang betul.

Institusi pengajian tinggi juga wajar memperbanyak program kesedaran pekerjaan di luar negara agar golongan belia cakna mengenai sindiket penipuan pekerjaan yang semakin mengganas.

"Saya melihat mereka ditahan di luar negara kerana terjebak penipuan pekerjaan. Mereka sudah pergi tidak sah kemudian ditangkap pula, layanan di tempat kerja teruk.

"Jadi sebelum ke luar negara berbincang dengan ahli keluarga kena fikir kesan dan akibat daripada tindakan kita. Ini salah satu kalau kita hendak pergi ke luar negara," kata Mustapha selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini.

(Datuk Dr Mustapha berkata waspada iklan pekerjaan luar negara tawar gaji lumayan)

Kementerian Luar mencatatkan sebanyak 301 jumlah keseluruhan laporan kes sindiket penipuan pekerjaan yang diterima hingga 21 September tahun lepas membabitkan negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Daripada jumlah tersebut, seramai 168 orang berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air.

 

Media Baharu