fb fb fb fb fb

Wartawan main peranan penting sebar luas dasar, isu semasa negara

Foto Facebook Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Peranan wartawan bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kepada denyut nadi rakyat serta pena yang membentuk kefahaman rakyat terhadap perkara-perkara penting dan dasar kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, media memainkan peranan penting selain komitmen dan pengorbanan dalam melaksanakan amanah demi rakyat serta negara.

"Wartawan bukan sekadar penyampai berita. Kalian semua adalah mata yang melihat realiti, telinga yang mendengar denyut nadi rakyat dan pena yang mencorakkan pemahaman masyarakat terhadap perkara-perkara penting dan dasar kerajaan.

"Dalam landskap media yang kian mencabar, peranan wartawan yang berpegang kepada prinsip ketelusan, tanggungjawab dan integriti amat dihargai. Tanpa usaha kalian semua, demokrasi tidak dapat berfungsi dengan matang, dan suara rakyat mungkin tenggelam dalam gelombang maklumat yang mengelirukan," menurut hantaran itu di Facebook.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa media yang bebas dan bertanggungjawab merupakan rakan strategik kerajaan dalam usaha membina sebuah negara progresif, bersatu dan berdaya tahan.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakan-rakan media tanah air di atas komitmen dan pengorbanan kalian semua, dalam melaksanakan amanah demi rakyat dan negara.

"Selamat Hari Wartawan Nasional 2025. Teruskan menyuara kebenaran. Teruslah menjadi suara rakyat. Terima kasih sekali lagi atas jasa dan pengorbanan kalian semua," tambah hantaran itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI