fb fb fb fb fb

Dua beranak maut, kenderaan terjunam ke gaung di Segamat

Foto fail

SEGAMAT, 29 Mei - Seorang bapa dan anak perempuannya berusia sembilan tahun maut apabila kenderaan dinaiki enam sekeluarga itu, terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kampung Kwongsai, Jalan Segamat-Labis, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Superintenden Ahmad Zamry Marinsah dalam kenyataan berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Fitri Md Said, 39 tahun dan Nurin Insyirah, sembilan tahun.

Menurut laporan, kenderaan yang dipandu mangsa terlanggar bahagian belakang sebuah lagi kenderaan, sebelum terbabas ke ladang sawit.

"Empat lagi mangsa, Nurain Farhana Johari, 32 tahun serta anak mangsa Nur Atiya, dua tahun, Muhammad Zikri, 11 tahun dan Nur Husna Mohd Fitri, empat tahun berjaya keluar daripada kenderaan sejurus kejadian," katanya menerusi kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat tiba di lokasi, bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

TETITIA YUSOFF