KUALA LUMPUR, 9 Julai -Simposium Fabrik ASEAN 2025 bukan sekadar perhimpunan seni tekstil, tetapi melambangkan komitmen kolektif negara serantau dalam mengangkat warisan sebagai asas perpaduan, pembangunan mampan dan diplomasi budaya.
Bertemakan “Tekstil Mampan: Tradisi ke Arah Transformasi”, simposium tersebut seiring dengan aspirasi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang berteraskan Inklusiviti dan Kelestarian, sekaligus menjadikan tekstil sebagai ejen perpaduan dan inovasi serantau.
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, beliau menekankan tekstil tradisional bukan sekadar fabrik, malah merupakan “warisan hidup” yang merentas sejarah, identiti dan nilai bersama negara-negara ASEAN.
“Kita tidak boleh melihat muzium hanya sebagai tempat menyimpan sejarah, tetapi sebagai platform aktif yang menghubungkan komuniti, penyelidik, pembuat dasar dan artisan dalam membina masa depan bersama,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut menyatakan harapan agar inisiatif seperti itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama serantau, termasuk pencalonan bersama ke UNESCO, seperti yang telah dilakukan menerusi pengiktirafan kebaya baru-baru ini.
“Setiap benang yang menganyam tekstil ASEAN adalah benang yang menjalin masa depan kita bersama yang adil, inklusif dan lestari,” beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Simposium Fabrik ASEAN 2025 ucapan.