fb fb fb fb fb

Waris Allahyarham Yusni Abd Hamid terima faedah Perkeso

PASIR PUTEH, 8 Ogos- Waris kepada seorang wanita yang maut dalam kemalangan membabitkan 29 kenderaan di Jalan Kamunting, Pasir Puteh 14 Julai lalu menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Sosial (Perkeso) negeri Kelantan hari ini.

Menurut Pengarahnya, Nora Yaacob, ia selepas didapati mangsa, Yusni Abd Hamid merupakan Orang Berinsuran (OB) dengan pertubuhan itu.

Katanya, hasil semakan, waris kepada mangsa layak menerima dua jenis faedah daripada Perkeso iaitu Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat sebanyak lebih RM480 kepada anak-anak arwah sehingga berumur 21 tahun.

Allahyarham Yusni meninggalkan tiga orang anak lelaki berumur antara 6 hingga 12 tahun.

Dalam kejadian pagi 14 Julai lalu, anak sulung arwah Mohamd Shahrul Riza Mohd Azizi putus kaki kanan dan kini masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

“Pencen bulanan sebanyak RM485 ini sekurang-kurangnya dapat membiayai mereka meneruskan kelangsungan hidup sheingga anak-anak ini berumur 21 tahun jadi kita berharap keluarga yang menjaganya akan menjaga kebajikan anak-anak ini dengan baik dan kami Perkeso akan memastikan pencen ini akan masuk setiap bulan kepada ketiga-ketiga anak tersebut,"kata Nora.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Perkeso di rumah bapa kepada mangsa di Kampung Gong Kala, Pasir Puteh, Kelantan.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Nora berkata, pihaknya menyeru kepada semua pekerja khususnya di negeri itu supaya memastikan mereka dicarum bawah caruman Perkeso supaya layak menerima faedah jika berlaku perkara tidak diingini seperti kemalangan dan kematian.

Terdahulu media melaporkan, seorang wanita maut, manakala anak lelakinya putus kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan di simpang empat lampu isyarat Kampung Dalam Kemunting, Pasir Puteh bulan lalu.

Kejadian pukul 9.05 pagi itu melibatkan treler membawa muatan besi, lori pasir, pacuan empat roda, dua buah kereta, satu kenderaan pelbagai guna (MPV) dan 21 buah basikal.


(Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob)

Media Baharu