KOTA TINGGI, 28 Disember- Mayat lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang ketika beriadah di pantai Desaru Coast, Kota Tinggi, petang semalam ditemui 5.30 pagi tadi pada jarak lima kilometer dari lokasi mangsa hilang.
Mangsa, 49 tahun dipercayai sedang beriadah bersama anak lelakinya berusia 16 tahun di pantai berkenaan sebelum dipukul ombak lalu hanyut ke laut.
Bagaimana pun anak mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim menerusi kenyataannya berkata, operasi mencari dan menyelamat ( SAR) digerakkan 12.33 tengah hari semalam melibatkan 17 anggota dari BBP Penawar, BBP Sungai Rengit dan BBP Mersing.
Operasi SAR dibahagikan kepada dua pasukan membuat pencarian dalam radius satu kilometer di kawasan kiri dan kanan dari lokasi kejadian sebelum menemui mangsa.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya 8.15 pagi tadi.