fb fb fb fb fb

Bilangan penduduk terjejas banjir terus meningkat

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 28 Disember - Jumlah penduduk terjekas banjir di lima negeri mencatatkan peningkatan kepada 28,032 orang pagi ini berbanding 25,763 orang malam tadi, yang ditempatkan di 137 pusat pemindahan sementara (PPS).

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menunjukkan Kelantan kekal mencatatkan jumlah penduduk terjejas banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat daripada 19,423 orang pada pukul 8.00 malam tadi.

Menurut laporan itu, 37 PPS dibuka di Pasir Mas yang menempatkan 18,289 orang, 19 di Kuala Krai (1,136 orang), masing-masing lima PPS di Tanah Merah (327 orang) dan Tumpat (1,507 mangsa) serta 118 orang berlindung di dua PPS di Gua Musang, setakat 6.00 pagi ini.

Di Terengganu, jumlah penduduk terjejas banjir mencatatkan peningkatan kepada 6,289 orang yang berlindung di 59 PPS pagi ini berbanding 5,983 orang di 60 PPS pada sebelah malam dengan daerah terjejas meliputi Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Pahang turut mencatatkan peningkatan jumlah penduduk pagi ini kepada 214 orang yang berlindung di lima PPS di Jerantut, Kuantan, Lipis dan Cameron Highlands, berbanding 206 mangsa pada sebelah malam.

Laporan itu memaklumkan daripada lima PPS yang masih dibuka di Pahang, PPS di daerah Cameron Highlands membabitkan insiden tanah runtuh dan menempatkan 87 orang.

Di Sabah, 31 orang ditempatkan di dua PPS di Pitas setakat 6 pagi ini, meningkat sedikit daripada 30 orang pada 8.00 malam tadi.

Sementara itu, jumlah orang di Johor tidak berubah dengan 121 orang masih berlindung di tiga PPS di daerah Mersing dan Segamat.

Bagi tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai di Kelantan iaitu Sungai Kelantan Pasir Mas, Sungai Golok Tumpat, Sungai Golok Pasir Mas, Sungai Kelantan Kota Bharu berada pada paras bahaya.

Di Terengganu pula, tiga sungai merekodkan paras bahaya iaitu Sungai Kemaman, Sungai Dungun dan Sungai Terengganu.

TETITIA YUSOFF