KUANTAN, 31 Disember- Seorang warga Myanmar dihukum penjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi suapan RM200 kepada anggota polis, pada 26 Disember lalu.
Tertuduh, Muhammed Shafi Muhammed Taher, 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu bagi mengelak dikenakan tindakan selepas ditahan kerana memandu tanpa lesen.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bekerja di sebuah pasar borong memandu sebuah kereta dan diperiksa dalam sekatan jalan raya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands.
Bagi kesalahan itu, Muhammed Shafi dituduh dengan pertuduhan pilihan bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 514) dan tertuduh mengaku bersalah.
Sementara itu hakim, Sazlina Safie kemudian memutuskan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula dari tarikh disabitkan; manakala wang yang dirampas dilucutkan hak.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suriawani Abdul Rahim.