fb fb fb fb fb

Warga emas nyaris maut dilibas penyamun dengan parang

BENTONG, 8 Julai- Seorang warga emas berusia 72 tahun nyaris maut setelah dilibas dengan parang dalam kejadian samun pada pukul 7.50 pagi semalam.

Ketua Polis daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, Balai Polis Karak menerima panggilan daripada mangsa yang memaklumkan bahawa dua lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam rumahnya, di Taman Hijau, Karak untuk menyamun.

"Ketika kejadian, mangsa berada di dalam rumah bersama isterinya yang berusia 69 tahun dan seorang cucu lelaki berumur 18 tahun.

Semasa bergelut, mangsa telah dilibas dengan parang oleh salah seorang suspek dan mengalami kecederaan di bahagian bawah leher sebelah kanan dan telah menerima 10 jahitan," katanya.

Tambah beliau, cucu mangsa pula mengalami bengkak di kepala akibat dihentak menggunakan bahagian belakang parang.

Suspek telah melarikan barang kemas berupa rantai dan cincin.

(Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan berlaku pergelutan sebelum suspek
bertindak melibas mangsa menggunakan parang)

"Kedua-dua suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an dan memakai topi keledar bertutup serta menaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Siasatan awal mendapati, tindakan samun itu dilakukan oleh dua lelaki warga tempatan," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan penjara 20 tahun dan sebatan.

Polis Bentong kini sedang mengesan kedua-dua suspek dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar segera menghubungi pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di talian 09-222-2222.

Media Baharu