fb fb fb fb fb

Warga emas maut, motosikal dinaiki terbabit kemalangan

Siasatan awal mendapati mangsa menukar laluan secara tiba-tiba sebelum dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah sama

PASIR PUTEH, 15 Mei - Seorang warga emas maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Gaal, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6.30 petang.

Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 69 tahun yang menunggang motosikal dari arah Kuala Terengganu ke Pasir Puteh dipercayai mengubah haluan ke kanan secara tiba-tiba, sebelum dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah sama.

Kereta yang dipandu lelaki berusia 54 tahun itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi motosikal terbabit.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Anis, namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan Zon Merah.

Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD