KUALA LUMPUR, 10 September – Polis mengesahkan rangka yang ditemui di sebuah rumah di Mutiara Magna, Kepong adalah seorang warga emas berusia 74 tahun.
Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata rangka tersebut ditemukan oleh anaknya yang datang ke rumah berkenaan untuk mencari bapanya yang tidak dapat dihubungi sejak 2020.
"Mangsa dilaporkan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan pernah mengalami strok," katanya kepada RTM.
Menurut laporan, anak mangsa pergi ke rumah tersebut pada 5 September lalu untuk bertemu bapanya.
Setibanya disana, pintu rumah didapati berkunci menyebabkan beliau terpaksa memecahkannya.
Difahamkan, bapa mangsa tinggal berseorangan selepas bercerai dengan ibu mangsa.
Terdahulu, tular gambar kad pengenalan seorang lelaki yang dikaitkan dengan rangka tersebut.
Namun, Ahmad Sukarno mengesahkan bahawa kad pengenalan itu bukan identiti sebenar mangsa.
"Rangka itu adalah si mati, tetapi identiti dia (mangsa) bukan kad pengenalan itu (yang tular)," katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).