fb fb fb fb fb

Industri halal, Malaysia bakal raih pelaburan RM4 bilion dari China

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto Bernama

SHANGHAI, 10 September – Malaysia berpotensi menarik pelaburan baharu dari China dalam industri halal bernilai sekitar RM4 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaburan tersebut melibatkan pelbagai sektor termasuk perubatan herba, makanan dan minuman, vaksin, kosmetik, serta farmaseutikal.

Beliau berkata, sebanyak 40 syarikat China telah menunjukkan komitmen serius untuk melabur di Malaysia.

"Keutamaan pelaburan adalah dalam sektor makanan dan minuman (F&B), namun terdapat juga permintaan terhadap produk farmaseutikal, kosmetik, vaksin, dan bahan-bahan herba.

"Syarikat-syarikat China menawarkan peluang besar dalam penggunaan herba tempatan dan mencadangkan kerjasama dengan institut penyelidikan herba tempatan serta universiti dan MARDI untuk mempromosikan produk berasaskan herba," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Forum Perniagaan Halal Malaysia-China, di sini.

Ahmad Zahid turut mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi rundingan meja bulat yang disertai lebih 30 syarikat dari China.

Turut hadir dalam forum tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Khairul Azwan Harun.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN