fb fb fb fb fb

Peranan media penting tangani isu keciciran pendidikan – Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek / Foto RTM

PUTRAJAYA, 10 September – Peranan media dalam menyebarluas laporan mengenai kepentingan pendidikan amat diperlukan bagi memastikan isu keciciran dapat ditangani.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan isu keciciran memerlukan kerjasama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

Katanya, isu tersebut berkait rapat dengan kemahiran literasi dan numerasi individu atau lebih dikenali sebagai Kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

"Kita dapati 122,000 murid Darjah 1 masih belum menguasai 3M. Jadi, kolaborasi semua pihak amat diperlukan ketika ini untuk mengatasi setiap kohort anak-anak ini dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5. Kami tidak boleh lakukan seorang diri.

"Mesej sangat penting untuk disampaikan kepada komuniti. Bantu kami untuk menyampaikan mesej jelas kepada masyarakat bahawa pendidikan adalah keutamaan negara dan di bawah Kerajaan Madani ini, tiada siapa yang terpinggir," katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan (MOF) bersama editor agensi media tempatan, di sini.

Hujung bulan ini, KPM bersama MOF dan rakan pelaksana, Yayasan Hasanah akan melaksanakan sebuah program pemulihan pembelajaran bagi menangani isu keciciran pelajaran di seluruh negara secara berperingkat.

Fadhlina berkata, kementerian yakin semua usaha dan inisiatif yang dirancang serta bakal dilaksanakan dapat menangani isu berkenaan.

"Ini bagi memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan sehingga tamat tempoh persekolahan," tambah Fadhlina.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN