fb fb fb fb fb

KSN cadang agensi kerajaan mainkan lagu Negaraku seminggu sekali

Shamsul Azri (tengah) bergambar kenangan bersama penjawat awam pada Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024 di Puspanitapuri Putrajaya

PUTRAJAYA, 10 September - Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dicadangkan memainkan lagu Negaraku sekali seminggu untuk menerapkan semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berharap Kementerian Perpaduan Negara dapat segera mengeluarkan pekeliling mengenai Pembudayaan Amalan Patriotisme itu.

"(Strategi) menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam boleh dilakukan melalui pelaksanaan program dan aktiviti yang bersifat patriotik, termasuklah memainkan lagu Negaraku sekali seminggu di semua kementerian, jabatan dan agensi.

“Lagi kerap, lagi bagus. Saya minta Kementerian Perpaduan Negara dapat memperincikan perkara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN 2024.

Cadangan itu merupakan strategi ketiga melalui Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) Penghayatan Nilai dan Tatakelola di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam iaitu untuk menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

Empat strategi lain ialah meningkatkan penghayatan Malaysia MADANI melalui Modul Latihan Malaysia MADANI; memastikan perbelanjaan wang awam dilakukan secara berhemah; memantapkan integriti dan akauntabiliti penjawat awam serta memperkukuhkan budaya hijau dan kelestarian sumber.

Mengenai strategi memastikan perbelanjaan wang awam dilakukan secara berhemah, Shamsul Azri berkata pekeliling mengenai pengawalan sumber melalui amalan penjimatan dan larangan pembaziran perlu diwujudkan, mengambil kira elemen pemantauan serta pengiktirafan kepada kementerian yang berjaya mencapai penjimatan ketara.

"Kita buat majlis besar-besaran, tapi tidak memberikan pulangan nilai untuk wang yang dilaburkan. Selain itu, kelihatan banyak juga pembaziran makanan pada setiap majlis yang diadakan. Pengawalan sumber melalui amalan penjimatan dan larangan pembaziran perlu dilakukan. Justeru satu pekeliling perlu diwujudkan dengan mengambil kira elemen pemantauan dan pengiktirafan," katanya.

Di bawah strategi keempat iaitu memantapkan integriti dan akauntabiliti penjawat awam, Shamsul Azri berkata beliau akan mempengerusikan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (Pasukan Petugas Khas CPI) untuk memastikan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah terus diperbaiki.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun lalu meningkat empat anak tangga, daripada kedudukan ke-61 pada 2022 kepada ke-57 daripada 180 negara.

Trainee2