fb fb fb fb fb

Wanita maut terjatuh dalam lubang saluran air ketika mendaki

Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terjatuh dalam lubang saluran air di Bukit Cherok Tok Kun/Foto: JBPM

BUKIT MERTAJAM, 17 September- Seorang wanita maut selepas terjatuh dalam lubang saluran air di bukit Cherok Tok Kun di sini, hari ini.

Mangsa, Oh Ai Chin, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Penolong Kanan Bomba II, Mohd Azmi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 12.59 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba kami dapati seorang wanita yang melakukan aktiviti pendakian di kawasan tersebut telah terjatuh dalam keadaan terlentang dalam lubang saluran air sedalam kira-kira dua meter.

“Dua anggota turun ke dalam lubang tersebut untuk mengangkat wanita itu dan kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Mohd Azmi berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI