
BANGI, 29 Januari – Saringan bersasar akan dilaksana di pintu masuk negara sebagai langkah awal bagi memperkukuh kesiapsiagaan mencegah penularan virus Nipah.
- Saringan bersasar dilaksanakan di pintu masuk negara untuk cegah penularan virus Nipah.
- Tumpuan kepada pengembara dari negara berisiko tinggi seperti India dan Bangladesh.
- Sistem pengimbas suhu badan diaktifkan untuk pengesanan awal gejala demam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata saringan bersasar itu akan memberi penumpuan terhadap pengembara dari negara berisiko tinggi yang tiba di Malaysia, khususnya India dan Bangladesh.
Jelasnya menerusi saringan itu, sistem pengimbas suhu badan akan sentiasa diaktifkan bagi membolehkan pengesanan awal seperti gejala demam dalam kalangan pengembara tersebut.
“Kita berikan tumpuan kepada pelancong ataupun mereka yang datang daripada negara khususnya India dan Bangladesh, yang lain pun kita tidak mengambil mudah.
“Yang mustahaknya untuk saringan bersasar itu telah kita mulakan, dan sejauh ini belum ada apa-apa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung RHB-IJN di Kompleks RHB di sini.
Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata penilaian risiko dan langkah pencegahan akan sentiasa diselarikan dengan perkembangan terkini di peringkat antarabangsa.
Ia bagi mengekang sebarang kemungkinan penularan virus tersebut dalam negara.