KUALA LUMPUR, 19 April – Golongan veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) diseru memainkan peranan aktif dalam memerangi penyebaran berita palsu yang semakin membimbangkan di era digital masa kini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja mencetuskan kebencian, malah menggugat keharmonian serta menjadi ancaman besar terhadap perpaduan negara.
“Baru-baru ini tular satu video kononnya kenderaan polis disimbah air sebagai tanda tidak menghormati PDRM. Selepas semakan, video tersebut sebenarnya berkaitan sambutan Pesta Songkran di Kedah.
“Kadang-kadang saya rasa terpanggil, sebab orang zaman sekarang lebih mudah percaya apa yang tersebar di WhatsApp berbanding menunggu berita rasmi pukul 8 malam. Sebab itu saya perlukan bantuan rakan-rakan PVRTM untuk guna pengaruh masing-masing di kumpulan WhatsApp,” katanya.
berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Veteran RTM (PVRTM) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini, hari ini.
Fahmi turut menyeru agar ahli PVRTM menyampaikan pesanan mudah kepada masyarakat, “Jika tidak pasti, jangan kongsi. Untuk pengesahan berita, rujuk RTM.”
Tambah Fahmi, pengalaman luas golongan veteran boleh dimanfaatkan untuk mendidik masyarakat agar menjadi lebih berinformasi dan bertanggungjawab.
Sebagai tanda sokongan kepada usaha PVRTM, kementeriannya turut mengumumkan komitmen peruntukan khas sebanyak RM30,000 kepada persatuan tersebut.
Turut mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, selaku Penaung Diraja Persatuan Veteran RTM (PVRTM), sempena sambutan ulang tahun ke-30 PVRTM serta Majlis Sambutan Aidilfitri PVRTM yang berlangsung di Dewan Cendekiawan, IPPTAR.
Baginda turut berkenan melancarkan logo rasmi ulang tahun ke-30 PVRTM dan memperkenalkan program terbaharu PVRTM.podcast, selain menyempurnakan penyampaian mock cheque tajaan kepada pihak persatuan sebagai tanda sokongan berterusan.
Majlis tersebut turut meraikan ulang tahun ke-100 bekas tokoh penyiaran negara, Tan Sri Ahmad Merican sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam dunia penyiaran tanah air.