fb fb fb fb fb

VEP: Jumlah kenderaan dari Singapura ke Johor kembali normal

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook/BERNAMA

JOHOR BAHRU, 6 Oktober- Jumlah kenderaan dari Singapura yang memasuki negara ini melalui Tambak Johor dan Link kedua (Second Link) direkodkan kembali normal.

Ia susulan penguatkuasaan permit masuk kenderaan (VEP) yang dilakukan secara berfasa bermula 1 Oktober lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata terdapat penurunan jumlah kenderaan asing minggu lalu, namun ia kembali normal selepas pihaknya memberi jaminan tiada tindakan saman dikenakan kepada pemandu yang belum memasang VEP.

"Jadi, mereka mempunyai sedikit pengurangan kenderaan kerana mereka bimbang akan dikenakan saman. Tetapi, 3 Oktober saya turun, saya beri jaminan."

"Saya nyatakan kita mempunyai strategi. Fasa pertama kita hanya memberi peringatan. Tetapi buat masa ini saya tidak mahu memberikan masa yang spesifik berapa lama ia akan berlaku kerana jika saya memberi jangka masa yang panjang, orang akan menunggu," kata Anthony kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui semasa Majlis Konvokesyen DAP Johor 2024 di Taman Ekoflora, Johor Bahru.

Jelas Anthony, pihaknya juga mempunyai maklumat data kemasukan kenderaan Singapura ke Johor dan beliau menyeru semua pemandu berkenaan untuk tidak bertangguh serta mendaftar VEP dengan segera.

Beliau juga mencadangkan syarikat vendor VEP untuk menambah lagi lokasi pendaftaran bagi memudahkan permohonan dan mengelakkan kesesakan.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 112,658 tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) VEP kepada kenderaan nombor pendaftaran Singapura, setakat 30 September lalu. 

Daripada jumlah itu, 75,412 tag telah dipasang dan diaktifkan pada kenderaan berdaftar di Singapura manakala 37,246 lagi, belum diaktifkan.

Sementara itu, DAP tidak pernah membuat sebarang perbincangan mahupun mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor.

Sebaliknya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook meminta supaya polemik Pakatan Harapan (PH) Johor mahu Kerajaan Perpaduan ditubuhkan itu, dihentikan.

DAP ketika ini selesa memainkan peranan sebagai Ahli Dewan Negeri dan pengimbang di negeri itu dan menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan tiada pembangkang di Johor sebaliknya hanya wakil pengimbang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM