fb fb fb fb fb

UUM terima dana RM1.75 juta bangunkan projek siput sudu

(FOTO UUM)

KUALA MUDA, 12 Oktober- Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima peruntukan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebanyak RM1.75 juta untuk projek 'Muscling the Mussels Farming Community' di Kuala Muda.

Projek siput sudu dijalankan bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) itu mula dilaksanan Januari 2021 hingga Januari 2026.

Ketua projek, Prof. Madya Dr. Faizatul Akmar Abdul Nifa berkata, projek kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang kini dalam fasa pertama itu melibatkan 15 peserta belia Bumiputera daripada golongan B40 dan 17 penyelidik dari UUM.

Menurutnya, projek siput sudu itu dijalankan di Pantai Teluk Bayu, Pantai Merdeka dan Pengkalan Tiram, Sungai Dedap di mana setiap lokasi masing-masing ditempatkan seramai tujuh dan lapan peserta.

Beliau berkata, projek tersebut bakal memberi impak kepada komuniti dari aspek peningkatan pendapatan dan ekonomi masyarakat luar bandar, tingkat keselamatan tahap makanan, membuka peluang pekerjaan dan menggalakkan aktiviti keusahawanan.

"Menerusi program yang dimulakan dahulu di Pantai Teluk Bayu, kita menyediakan sangkar penternakan siput sudu, rumah proses, fabrikasi bot bagi tujuan logistik dan pengangkutan dan 400 tali benih siput sudu. Pembinaan ini telah selesai sepenuhnya pada Julai lalu.

"Pembinaan infrastruktur bagi lokasi kedua di Pengkalan Tiram, Sungai Dedap akan dimulakan setelah mendapat dana kedua daripada TERAJU," katanya.

'Muscling the Mussels Farming Community' ini dipecahkan kepada lima inisiatif projek (IP) yang dikendalikan oleh kumpulan penyelidik untuk menjalankan skop tugasan masing-masing.

IP 1 bertanggungjawab dalam penglibatan komuniti Bumiputera dalam sektor akuakultur; IP 2 fokus pembinaan infrastruktur asas, rakit penternakan terapung dan penternakan siput sudu; sistem IoT bagi kawalan persekitaran ternakan siput sudu (IP 3); rantaian logistik dingin bagi hasil ternakan siput sudu (IP 4) dan IP 5 berperanan dalam penjenamaan dan pemasaran hasil ternakan siput sudu.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah mengadakan Program Latihan Keusahawanan Penternakan Siput Sudu (Penjenamaan dan Pemasaran) serta Libat Urus Komuniti Projek dengan kerjasama Institute Halal Malaysia (IHM), UUM serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) negeri Kedah bagi memberi taklimat berkenaan halal dan bimbingan usahawan.

Selain itu, Program Latihan Penternakan Siput Sudu sesi pertama di Rumah Proses Teluk Bayu turut diadakan dan memantau pembinaan rumah proses, sangkar dan fabrikasi bot yang telah siap pada Julai lalu serta mengadakan Program Pemindahan Ilmu: Pembangunan Produk Siput Sudu Stim/Rebus Sejuk Beku.


(FOTO UUM)

Media Baharu