fb fb fb fb fb

553 tukun dilabuhkan di perairan Kedah babitkan peruntukan lebih RM9.7 juta

 

PULAU PAYAR, 12 Oktober- Sebanyak 553 tukun telah dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia di 11 lokasi sekitar perairan negeri Kedah sejak tahun 2006 hingga kini melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah lebih RM9.7 juta.

Perairan Kuala Jerlun merekodkan jumlah tukun tertinggi dilabuhkan iaitu 231 unit; diikuti Pulau Payar 96 unit; dan perairan Yan 49 unit.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, pembangunan tukun tiruan adalah sebahagian usaha kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan sumber perikanan, mencegah pencerobohan nelayan pukat tunda, mengurangkan konflik antara nelayan tradisional dan komersil.

Selain itu, ia juga akan memberi limpahan sumber perikanan serta memberi manfaat termasuk menjana pendapatan kepada keseluruhan nelayan di negeri Kedah.

Katanya, nelayan persisir pantai juga akan mendapat kesan peningkatan hasil tangkapan apabila berlakunya 'spill over effect' daripada sumber perikanan yang terhasil daripada tukun-tukun tersebut.

"Kalau boleh agenda atau program ini diperluaskan ke pulau-pulau lain khususnya di Pulau Langkawi, di Daerah Yan kita ada tiga buah pulau yang kita rasa boleh menjadi satu tempat tarikan bukan saja kepada tarikan pelancong, malah juga tarikan kepada habitat-habitat yang ada di laut.

"Dengan harapan ia akan menjadi satu taman laut popular yang dapat dikekalkan di peringkat nasional dan juga peringkat antarabangsa” katanya kepada RTM selepas merasmikan Program Melabuh 12 unit Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda dan sesi lawatan ke sekitar Taman Laut Pulau Payar, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan bin Abdullah dan Exco Pelancongan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin.

Sebanyak 12 unit tukun dasar lembut konservasi penghalang pukat tunda melibatkan kos sebanyak RM322,230 menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Di Kedah, terdapat 10,981 nelayan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di 27 buah pengkalan sepanjang perairan negeri itu.

Sebanyak 3,878 buah vesel menangkap ikan yang berlesen terdiri daripada zon pesisir pantai Zon A hinggalah ke sempadan antarabangsa Zon C2.

Sumbangan perikanan tangkapan kepada sektor perikanan negeri Kedah bagi tahun 2022 adalah berjumlah 140,866 tan metrik dengan nilai berjumlah lebih RM 1.8 bilion.

Jumlah itu meningkat berbanding 122,835 tan metrik dengan nilai berjumlah RM 1.bilion juta pada tahun 2021.


(Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali)

Media Baharu