SINTOK, 30 Januari - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memperluas akses program pembelajaran sepanjang hayat dalam usaha melahirkan masyarakat berpengetahuan.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan, bagi tujuan itu, setiap pusat pengajian perlu mempunyai satu program pembelajaran sepanjang hayat bagi melaksanakan program yang ditetapkan.
Bagi menjayakan misi itu, Jawatankuasa Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat ditubuhkan bagi memperkukuh dan memperluas program seperti micro-credential, sijil-sijil eksekutif dan Executive Diploma Business Management (EDBM).
Program ini membuka peluang kepada komuniti untuk menambah pengetahuan dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
”UUM akan terus bergerak memberi dan membangunkan komuniti seperti dalam objektif ketiga penubuhannya. Justeru itu, projek atau program Satu Pusat Pengajian satu Daerah akan diteruskan bagi menjadi saluran pemindahan pengetahuan yang terbaik antara universiti dan masyarakat.
“Projek Cyntok Bhatik yang dilaksanakan pada September 2019, oleh Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif & Seni Persembahan (SCIMPA), kini menunjukkan impak yang baik kepada komuniti terlibat. Genap 5 tahun projek komuniti dengan jenama Cyntok Bhatik ini diusahakan dan kini ianya telah menjadi satu signature kepada UUM dari segi segmen penyelidikan, Perundingan dan Pengkomersialan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 UUM.
Hasil kejayaan itu, projek berkenaan akan dinaiktaraf sebagai Projek Komuniti Berimpak Tinggi UUM dan mendapat keterlibatan dari semua Pusat Pengajian untuk turun padang dan membantu komuniti dari perspektif bidang masing-masing.
Projek tersebut juga dijadikan sebagai Nidus Inkubator Penyelidikan & Perundingan Projek Komuniti rasmi UUM.
Program itu jelas Dr. Mohd Foad, berpotensi untuk diperluas seperti Batik Kota Tinggi dan Batik Pangkor bagi menyerlahkan lagi sumbangan UUM terhadap komuniti.