fb fb fb fb fb

Utamakan pendekatan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat

FOTO RTM

ARAU, 12 Januari-Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan pelaksanaan amalan Islam di negeri Perlis bermula di masjid sehingga kepada aspek kehidupan seperti perkahwinan, dan zakat, wakaf merupakan pendekatan bagi memudahkan dan bukan menyulitkan selagi ia tidak bertentangan dengan syariat dan kemaslahatan awam.

“Penyampaian Islam kepada mereka yang bukan Muslim di negeri ini pula hendaklah dengan cara yang memudahkan mereka faham dan memudahkan mereka mengamalkan agama ini jika mereka menerimanya.

"Islam di Perlis hendaklah mengutamakan pendekatan yang harmoni untuk semua Muslim dan bukan Muslim”titah Tuanku Syed Faizuddin.

Titah baginda lagi, perkara ini adalah selari dengan 'Titah Tujuh Amanat Tuanku Raja Perlis', seperti yang telah dizahirkan oleh Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 20 April 2017 lalu.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan kepada 140 orang asnaf terpilih dalam satu program yang telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ubudiah, Sematang Serdang, Simpang Empat.

Majlis agihan tersebut melibatkan seramai 70 penerima dari Kariah Sematang Serdang dan 70 lagi penerima dari Kariah Chemumar.

Mereka menerima sumbangan MAIPs sebanyak RM700.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD