PEKAN, 28 November - Kerajaan Negeri Pahang yang baharu dibentuk antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu mengetepikan ideologi serta sentimen politik dan menumpukan kepada usaha memajukan negeri.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kedua-dua parti gabungan yang telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri itu perlu meletakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
(Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
bertitah pada Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan
dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang)
"Ketepikan ideologi dan sentimen politik, letakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan sebagai keutamaan dan kini bukan lagi masa untuk berpolitik, cukup-cukuplah pilihan raya telah tamat kerajaan negeri telah dibentuk, sekarang masa untuk bekerja," titah Baginda.
Bagi pihak pembangkang pula, baginda mengingatkan agar menjalankan fungsi semak dan imbang dengan teguran serta idea yang professional dan matang.
Dalam pada itu, baginda juga berharap agar pihak yang dipilih tidak mencipta kekayaan diri dan tidak mengkhianati amanah yang diberi.
Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan mengharap agar Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail terus memajukan dan melestarikan negeri ini.