fb fb fb fb fb

Usul undi percaya Anwar sebagai PM10 lulus dengan suara majoriti di Parlimen

KUALA LUMPUR, 19 Disember - Dewan Rakyat meluluskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sokongan majoriti diperoleh menerusi undian suara.

Ini sekaligus membuktikan keabsahan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan pimpinannya benar-benar kukuh.

Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

(Reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Pertama Penggal
Pertama, Parlimen ke -15 Dewan Rakyat)

"Ahli-ahli yang berhormat sekarang saya kemukan masalah kepada majlis bagi diputuskan, masalahnya ialah bahwa usul seperti dikemukakan TPM dibawah nombor 8 dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul hari ini hendaklah dipersetujukan.

"Ahli yang setuju kata setuju, yang tidak kata tidak, lebih suara bersetuju...usul disetujukan," kata Datuk Johari Abdul selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, selesai membahaskannya.

Antara yang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul tersebut ialah Ahli Parlimen Larut, Bagan, Kota Bharu, Sri Aman, Beluran, Pandan dan Arau.

Sementara itu, beberapa Menteri Kabinet pula berharap kelulusan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dapat menamatkan kesangsian dibangkitkan segelintir pihak mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Kerajaan.

"Bagi saya...biarlah yang hendak bermain politik itu terus bermain politik kita tahu mereka akan teruskan pertikaian-pertikaian mereka...tapi yang penting setelah membuktikan bahawa kita mempunyai sokongan yang padu...2/3 daripada jumlah ahli Parlimen.

"Maka sekarang kita perlu menyelesaikan masalah rakyat selain daripada isu kos sara hidup...semestinya isu banjir yang sekarang ini melanda terutama negeri-negeri di Pantai Timur," kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, fokus utama kini perlu tertumpu kepada usaha menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat.

"Bagi saya keberanian yang ditunjukkan kerajaan bawah YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan undi percaya ini satu perkara yang wajar kita contohi supaya kita dapat berhadapan dengan isu ini.

"Kita berharap selepas ini fokus semua ahli-ahli Parlimen tidak kira parti mana ialah untuk memastikan negara kita yang berdepan banyak cabaran dari segi ekonomi, pekerjaan dan cabaran alam sekitar yang ada pada hari ini kita dapat fokus untuk melaksanakan perkara tersebut," katanya.   

Media Baharu