fb fb fb fb fb

Usaha negara tingkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan, dapat pengiktirafan global

PARLIMEN, 28 Februari- Produktiviti dan daya saing negara perlu terus dipertingkatkan untuk menarik pelaburan asing berkualiti bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat. 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa tindakan proaktif kerajaan dalam meningkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan negara demi menjana pertumbuhan ekonomi yang lestari telah mendapat pengiktirafan dari institusi global.


Milken Institute Global Opportunity Index 2022 telah menobatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang paling menarik bagi pelabur- pelabur asing dalam kalangan ekonomi Asia Tenggara Baharu Muncul (Emerging Southeast Asian Economies).

Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun lalu bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bernilai RM220.8 bilion dapat mencipta 80,000 peluang pekerjaan baharu bagi bakat-bakat tempatan.

"Prestasi perdagangan Malaysia pada tahun 2021 buat pertama kalinya telah mencatatkan pencapaian yang cemerlang iaitu melebihi RM2 trilion. Kerajaan juga telah mencapai jumlah nilai eksport RM1.24 trilion bagi tahun 2021. Ini menjadikan sasaran jumlah eksport negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM1.25 trilion menjelang tahun 2025 telah berjaya dicapai empat tahun lebih awal. Beta yakin kejayaan ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap asas- asas ekonomi dan ekosistem pelaburan negara," titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Baginda yakin ekonomi negara akan mendapat manfaat yang besar melalui perjanjian perdagangan bebas ekonomi serantau dan antarabangsa yang merupakan tunjang kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.

Perjanjian Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) yang telah diratifikasi akan turut menyediakan akses pasaran yang lebih luas serta memberi peluang yang berlipat ganda untuk syarikat-syarikat tempatan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan global.

Media Baharu