PARLIMEN, 28 Februari- Usaha membasmi miskin tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu perlu diberi tumpuan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah, semua pihak harus menggembleng tenaga dan memberikan komitmen tinggi agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan.
"Beta turut menyambut baik usaha yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) yang telah memberi dimensi baru dalam mengukuhkan sistem perlindungan sosial negara. Program perlindungan sosial sedia ada juga wajar diperkukuh dan disusun semula bagi mendepani cabaran yang boleh menjejaskan kualiti hidup serta potensi pembangunan masa hadapan," titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen.
(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyampaikan Titah Diraja sempena merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen)
Pada masa sama Al- Sultan Abdullah bertitah, usaha pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta usahawan informal yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir adalah sangat penting dan kritikal.
Kumpulan khusus seperti penjaja dan peniaga kecil, wanita, belia, graduan, kumpulan B40 termasuk asnaf serta golongan yang hilang pekerjaan perlu terus dibantu melalui program bimbingan keusahawanan dan pembiayaan yang bersesuaian demi kelangsungan hidup.