PARLIMEN, 28 Februari- Malaysia berada di kedudukan ke-13 dari 122 buah negara dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia.
Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjaya mencapai liputan vaksinasi lengkap sehingga 98% populasi dewasa.
Baginda turut menyeru, bagi memastikan imuniti kekal pada tahap optimum dan sebagai benteng dalam menghadapi varian baru, semua rakyat perlu mendapatkan dos penggalak menerusi program yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Walaupun negara kini semakin bersedia untuk beralih ke fasa endemik, Beta berharap agar peralihan ini dilaksanakan secara berhati hati. Beta menyokong strategik pengujian COVID-19 Kebangsaan dan tindakan alternatif kerajaan untuk mengurangkan harga kita ujian kendiri sebagai langkah pengukuhan tindakan kesihatan awam dan pemerkasaan komuniti,"titah Seri Paduka.
Baginda bertitah demikian dalam Titah Diraja ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong turut menghargai Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN), termasuk strategi pembangunan vaksin sendiri, sebagai usaha meningkatkan kesediaan negara mendepani pandemik dan ancaman wabak lain pada masa hadapan.
Selain itu, Seri Paduka juga menyambut baik Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental 2020-2025, yang dirangka bagi menangani isu kesihatan mental rakyat terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui pelbagai langkah intervensi dan bantuan.
“Beta menyeru kepada rakyat beta supaya terus memelihara kesihatan termasuklah kesihatan mental dan sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat bagi menjayakan matlamat agenda nasional ‘Malaysia Sihat’,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah menyokong aspirasi kerajaan untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi kerana pembudayaan sains melalui inovasi sosial bakal melahirkan modal insan yang bersifat altruistik dalam menangani isu kemiskinan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Beta berharap kerajaan akan terus memperkukuh program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam bidang keutamaan termasuk kecerdasan buatan, robotik,bio-sains dan angkasa,” titah Yang di-Pertuan Agong.