fb fb fb fb fb

Banjir Pantai Timur: 98 PPS di Terengganu, 54 PPS di Kelantan, diaktifkan

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Susulan keadaan banjir yang semakin buruk di dua negeri di Pantai Timur, 98 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan 54 PPS di Kelantan telah diaktifkan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan berdasarkan laporan PKOB Terengganu, pengaktifan PPS tersebut adalah bagi melindungi 4,600 penduduk terjejas banjir daripada 1,435 keluarga.

Sehubungan itu pihak Nadma akan membuat penghantaran tambahan Kit Makanan ke PKOB Terengganu bagi melancarkan pengurusan di PPS.

Situasi air yang naik mendadak di Hulu Terengganu telah menyebabkan banyak kampung yang terputus hubungan.

Justeru bot dan lori terpaksa digunakan kerana laluan sudah tidak boleh diakses kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, PKOB negeri Kelantan turut melaporkan peningkatan penduduk terjejas di mana sebanyak 54 PPS telah diaktifkan.

Katanya, operasi menyelamat di beberapa lokasi di Kelantan juga hanya boleh dilakukan menggunakan lori dan bot sahaja memandangkan air telah naik lebih tinggi.

Di Pahang pula, PKOB negeri melaporkan tidak ada PPS yang diaktifkan setakat ini memandangkan hanya kejadian banjir kilat yang telah berlaku di beberapa lokasi.

Media Baharu