(Mayat adik Muhammad Fazly ditemukan kira-kira 10.00 malam tadi)
KOTA BHARU, 28 Februari- Remaja lelaki yang tergelincir dan dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, Ketereh, Kelantan semalam, ditemukan mati lemas.
Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13 tahun dijumpai pukul 10.00 malam tadi oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) di lokasi tiga meter atau kira-kira 40 meter dari lokasi terakhir dia dipercayai tenggelam.
Sebelum kejadian pada 6.20 petang tadi, mangsa menunggang basikal bersama-sama dua sepupunya untuk ke rumah datuk mereka tidak jauh dari rumah masing-masing.
Sepupunya, Muhamad Aiman Mohamad Anuwa, 13 tahun berkata, mereka menunggang basikal berasingan dan ketika melalui lokasi kejadian, mangsa berada di hadapan dan memberitahu dia tahu selok-belok laluan tersebut.
Ketika melalui jalan berbatu yang dilimpahi air sedalam 0.2 meter dan berarus deras, Fazly yang berada di hadapan secara tiba-tiba tergelincir sebelum dihanyutkan arus bersama basikal ditunggang.
"Kami naik basikal pergi ke rumah atok, dia (mangsa) kata tahu selok belok jalan dan berada dihadapan, lepas tu dia jatuh, pegang rumput, tapi arus deras tolak dia ke tali air," menurut sepupu mangsa, Muhamad Aiman Mohd Anuwa.
Jelas Aiman sejurus kejadian, dia dan seorang lagi sepupunya, Faiz, 13 meminta tolong daripada tiga lelaki yang berada berhampiran lokasi namun disebabkan tidak pandai berenang, tiga individu itu terus menghubungi penduduk kampung lain.
Katanya, dalam jarak kira-kira 100 meter dihanyutkan arus, dia terdengar mangsa menjerit meminta tolong namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya memandang sepupunya itu perlahan-lahan tenggelam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintenden Mohd Suhaimi Ali berkata, mayat mangsa ditemui oleh sepasukan anggota PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di dasar tali air itu pada kedalaman 2.5 meter.
Katanya, Balai Polis Ketereh menerima maklumat pada 6.20 petang yang memaklumkan terdapat seorang remaja lemas di dalam tali air.
"Lebih kurang pukul 10.00 malam mangsa telah dijumpai dari tempat dia tergelincir pada jarak kurang 40 meter," kata Suhaimi.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ 2) untuk bedah siasat.