fb fb fb fb fb

BANJIR: Jumlah penduduk yang terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu meningkat pagi ini

(Situasi banjir di Kuala Terengganu)

KUALA LUMPUR, 28 Febuari - Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 19,626 orang pagi ini berbanding 14,521 individu, malam tadi.

Di TERENGGANU, jumlah penduduk yang dipindahkan ke PPS meningkat kepada 11,137 orang daripada 3,177 keluarga berbanding 6,963 orang daripada 2,072 keluarga semalam.

 

Mereka ditempatkan di 157 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 44 di Besut, Setiu (30), Hulu Terengganu (27), Dungun (23), Kemaman (22), Kuala Nerus (lapan), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan, cuaca di kebanyakan daerah di negeri itu dijangka baik pada pagi ini manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan bacaan air di enam batang sungai masih pada paras bahaya.

Enam sungai berkenaan ialah Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Kemaman, Sungai Nerus (Setiu), Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Terengganu (Kuala Terengganu).

Di KELANTAN pula , jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 8,489 orang daripada 2,750 keluarga berbanding 7,558 orang daripada 2,449 keluarga, semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 68 PPS dibuka melibatkan tujuh daerah.

18 di Pasir Mas, Kuala Krai (16), Tanah Merah (14), Jeli (lapan), Pasir Puteh (enam), Machang (lima) dan satu di Kota Bharu.

Portal JPS pula melaporkan bacaan air di tiga sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah; Sungai Kelantan di Temangan, Machang dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah.

 

Media Baharu