KUALA LUMPUR, 2 Jun - Tindakan proaktif dan kolektif yang mendesak perlu diambil Malaysia bersama negara ASEAN lain dalam menghentikan rantaian pemerdagangan manusia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, usaha menutup pusat-pusat operasi sindiket berkenaan perlu dijadikan keutamaan.
''Kita mesti pergi satu langkah lagi dan bukan hanya tunggu aduan untuk bertindak menyelamatkan mangsa. Kita perlu mengambil tindakan lebih proaktif untuk menutup pusat penipuan ini dan jika ada lagi yang dibuka perlu ada tangkapan melalui operasi penguatkuasaan dan perlu ada pendakwaan," katanya selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Beliau berharap lebih banyak pendakwaan khususnya terhadap pihak yang merekrut atau menjadi ejen sindiket berkenaan.
Menurutnya, selain peranan pihak penguat kuasa, kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, serta agensi-agensi berkaitan termasuk dari luar negara juga penting dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan ini secara menyeluruh.