fb fb fb fb fb

Tafsir Al-Quran ada garis panduan ketat, nafi ikut 'telunjuk' DAP

Al Quran

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Pihak yang mengeluarkan komen di media sosial mendakwa kerajaan akan mengikut telunjuk parti DAP dalam mentafsirkan Al-Quran adalah kenyataan tidak bertanggungjawab serta bersifat provokasi dan ia dipandang serius oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Setiausaha Politik kepada Menteri di jabatan berkenaan, Muhamad Razak Idris menegaskan, segala urusan berkaitan teks dan pentafsiran Al-Quran di negara ini dilaksana berpandukan garis panduan ketat seperti ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, ia turut diselia oleh pakar dalam bidang keagamaan yang diperakui kerajaan.

"(Justeru), semua pihak adalah diseru agar tidak terpengaruh dengan komentar dan provokasi tersebut kerana ia boleh menimbulkan keresahan awam.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meminta pihak berkuasa mengambil tindakan penguatkuasaan kepada pemilik akaun yang telah memuat naik komen tersebut demi memberi pengajaran kepada orang ramai," katanya dalam kenyataan.

Muhamad Razak menasihatkan orang awam untuk menggunakan media sosial secara berhemah, amanah serta tidak terlibat dengan perbuatan memberi komen berunsur hasutan dan provokasi yang boleh menimbulkan kegelisahan awam terutama dalam perkara-perkara melibatkan urusan hal ehwal agama.

SITI AISHAH BINTI MD ISA