fb fb fb fb fb

SMA jamin 5G tiada risiko kepada kesihatan awam

FOTO HIASAN

SIBU, 27 Oktober- Kebimbangan mengenai sinaran daripada struktur telekomunikasi telah diambil kira dan kesihatan tetap menjadi keutamaan dalam pembinaan kemudahan itu, kata Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng.

Beliau berkata berdasarkan kajian, pelepasan medan elektromagnet (EMF) daripada infrastruktur radiokomunikasi di kawasan awam adalah sangat rendah dan tidak menimbulkan risiko kesihatan kepada penduduk sekitar.

“Adalah penting bagi semua pihak untuk bergantung pada data yang tepat dan bukannya khabar angin tidak berasas daripada sumber tidak disahkan,” katanya pada Malam Penghargaan Media SMA Bahagian Sibu malam tadi.

Tiong menyeru kepada media untuk menyampaikan maklumat tepat tentang EMF serta membantu mendidik orang ramai sekali gus dapat menghapuskan kebimbangan mereka mengenai struktur telekomunikasi itu.

Pada Rabu, sebuah akhbar tempatan melaporkan sekumpulan 23 pemilik rumah di Bakam, Miri telah menandatangani petisyen meminta pihak berkuasa untuk tidak mendirikan menara telekomunikasi 5G berhampiran rumah mereka.

Penduduk mendakwa mereka tidak dirujuk mengenai projek yang dimulakan awal bulan ini dan bimbang tentang keselamatan menara yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah mereka itu.

Sementara itu, Tiong berkata rangkaian 5G bukan sahaja selamat untuk kesihatan awam tanpa kesan buruk tetapi juga boleh menyambungkan sejuta peranti dalam kawasan seluas satu kilometer per segi, berbanding teknologi LTE yang hanya boleh menyambungkan 1,000 peranti di kawasan sama.

“Pelaksanaan rangkaian 5G berkelajuan tinggi memerlukan infrastruktur telekomunikasi yang mantap dan jarak rapat serta kini sedang dipasang oleh penyedia perkhidmatan di kawasan kediaman di bandar-bandar Sarawak,” katanya.

Beliau berkata berbeza dengan teknologi sebelumnya, 5G menawarkan kependaman minimum hanya satu milisaat, membolehkan kawalan peranti jauh yang lebih cekap dan tepat.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE