fb fb fb fb fb

Urusan pengeluaran pasport akan ditambah baik - KDN

PUTRAJAYA, 9 Disember- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus menambah baik proses urusan pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di kesemua 76 pejabat pengeluaran PMA di dalam dan luar negara.

Ia bagi menangani isu kesesakan pengeluaran PMA yang berlaku di beberapa pusat pengeluaran pasport sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata jumlah pengeluaran PMA mencatatkan peningkatan empat kali ganda sehingga mencecah lebih 6,000 PMA sehari pada pasca pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, pihak JIM sedang berusaha secepat mungkin bagi menangani peningkatan tersebut.

"Daripada bulan April sehingga akhir November, pihak JIM telah berjaya menguruskan 2.3 juta urusan proses Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA). Ia satu angka yang tinggi sekali gus membuktikan bahawa jabatan ini mempunyai budaya kerja yang cekap dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

JIM sentiasa komited sebagai agensi pemudah cara rakyat sama ada di peringkat permohonan, proses kelulusan ataupun proses pengeluaran PMA," kata Saifuddin dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, pihak jabatan juga sedang mengkaji pelaksanaan kaedah baru pengeluaran PMA termasuk mencontohi amalan baik di negara maju yang lain dalam berhadapan isu kesesakan pengeluaran pasport.


(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang
media hari ini di Putrajaya)

Sementara itu, sejumlah 403,869 permohonan membawa masuk pekerja asing diterima Jabatan Imigresen dari 1 Januari hingga 4 Disember tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 373,479 permohonan sudah diluluskan melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) manakala baki 30,410 permohonan lagi sedang diproses dan dalam pertimbangan untuk diluluskan.

Jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, hanya 68 peratus daripada 373,000 permohonan VDR yang diluluskan telah dibawa masuk ke negara ini untuk bekerja.

Antara faktor yang menyebabkan pekerja asing tidak dapat dibawa masuk walaupun sudah mempunyai VDR adalah kekangan kesediaan majikan dan halangan lain dari negara sumber pekerja asing.

Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan perpaduan untuk mempermudahkan proses kemasukan pekerja asing ke negara ini bagi menampung keperluan industri dan sektor ekonomi tempatan.

Sehingga kini, seramai 1.4 juta pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sedang berkerja di negara ini di tujuh sektor utama antaranya perkilangan, pembinaan, perkhidmatan dan perladangan.

Media Baharu