UPSI perkukuh nilai kemanusiaan menerusi Galeri Razak Sensei

Galeri Razak Sensei dijadualkan dibuka kepada umum pada Mac ini.

TANJUNG MALIM, 31 Januari – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menubuhkan Galeri Razak Sensei di bawah kelolaan Muzium Pendidikan Nasional (MPN) sebagai inisiatif memperkukuh nilai kemanusiaan dalam pembinaan jiwa pendidik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galeri Razak Sensei memperkukuh nilai kemanusiaan dan pendidikan berkualiti selaras JIWA UPSI.
  • Pameran menonjolkan ketokohan Razak Sensei sebagai pendidik unggul dan simbol ketahanan jiwa.
  • Warisan asli disumbangkan waris termasuk dokumen, foto, manuskrip dan koleksi buku.
  • Galeri dijangka jadi mercu tanda UPSI dan pusat rujukan warisan pendidikan negara.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penubuhan galeri itu menterjemahkan konsep JIWA UPSI yang menjadi asas kelestarian universiti pendidikan menjelang 2026.

Menurut beliau, usaha berkenaan sejajar dengan aspirasi melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang akademik, malah beretika serta berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

“Inisiatif MPN mewujudkan Galeri Razak Sensei mencerminkan komitmen UPSI terhadap pendidikan berkualiti, keamanan dan kemanusiaan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat,” katanya.

Galeri Razak Sensei dijadualkan dibuka kepada umum pada Mac ini dan bakal menampilkan pameran memorial serta pendidikan yang mengangkat ketokohan Allahyarham Razak Sensei sebagai pendidik unggul.

Galeri itu turut menjadi simbol ketahanan jiwa, kelestarian ilmu dan kemanusiaan sejagat yang diwariskan oleh tokoh berkenaan.

Usaha penubuhan galeri tersebut mendapat sokongan penuh waris Allahyarham, khususnya Tan Sri Profesor Emeritus Dzulkifli Abdul Razak, yang turut menyumbangkan artifak dan bahan pameran asli.

Sumbangan itu merangkumi dokumen peribadi, foto sejarah, manuskrip penulisan serta koleksi buku yang merakam pemikiran, perjuangan dan ketokohan Razak Sensei sebagai pendidik berjiwa besar.

Razak Sensei merupakan antara pelajar awal Sultan Idris Training College (SITC) serta mangsa terselamat tragedi bom atom Hiroshima yang membentuk komitmennya terhadap keamanan dunia.

Sementara itu, Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM), Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata galeri berkenaan dibangunkan berasaskan sumber primer yang sahih dengan pembabitan langsung waris Allahyarham.

Menurut beliau, pembukaan galeri itu dijangka menjadi antara mercu tanda penting UPSI menjelang 2026, sekali gus mengukuhkan peranan MPN sebagai pusat rujukan warisan pendidikan negara.

“Galeri Razak Sensei bukan sekadar ruang pameran, tetapi arkib hidup yang memindahkan nilai pendidikan berkualiti, keamanan, ketahanan jiwa dan kemanusiaan melalui legasi seorang pendidik,” katanya.