TANJUNG MALIM, 22 Oktober - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Industri Sukan Teras Tadbir Urus bawah Pelan Industri Sukan Negara (PISN) Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) Profesor Madya Dr Jaffry Zakaria berkata, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan UPSI dalam bidang sains dan pengurusan sukan, serta komitmen universiti memperkukuh tadbir urus sukan profesional dan berintegriti.
"UPSI akan terus membangunkan modul latihan, penyelidikan dasar dan strategi tadbir urus mampan yang dapat dimanfaatkan oleh agensi serta organisasi sukan negara.
"Pengiktirafan tersebut mencerminkan peranan UPSI sebagai peneraju pendidikan sukan dan rakan strategik KBS dalam memperkasa pembangunan industri sukan Malaysia," menurut kenyataan itu.
Watikah pengiktirafan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Timbalan Dekan FSSK UPSI Dr Nurul Fadhilah Abdullah sempena ASEAN Sports Industry Expo 2025 di Shah Alam.
Majlis turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.