fb fb fb fb fb

UPMKB, BDA optimis tangani isu pengurusan sisa makanan

Pengarah UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini (tiga dari kanan) bersama Timbalan Pengerusi BDA, Datuk Haidar Khan Asghar Khan (empat dari kanan) dan Ketua Projek Zero Food Waste dan Ketua Laboratori Biodiversiti Borneo IEB UPMKB, Dr Keeren Sundara Rajoo (lima dari kanan). Turut bergambar, wakil syarikat yang terlibat dan pengurusan UPMKB/UPM

BINTULU, 21 Februari- Program Towards Zero Food Waste oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) dan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), mampu mencetuskan penyelesaian inovatif terhadap pengurusan sisa makanan.

Kerjasama strategik itu sekali gus bakal memberi manfaat kepada masyarakat serta alam sekitar.

UPM dalam kenyataannya memaklumkan bahawa inisiatif tersebut melibatkan kerjasama antara BDA dan UPMKB dengan pemegang taruh di Bintulu yang berkaitan dengan penyediaan makanan.

Pengarah UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting dalam mengurangkan pembaziran makanan, menangani isu kebuluran serta menetapkan penanda aras bagi pengurusan sisa makanan yang lebih mampan di Malaysia.

“Usaha ini sejajar dengan Pelan Induk Sekuriti Makanan UPM yang menekankan amalan lestari, inovasi berasaskan penyelidikan serta penglibatan komuniti dalam memastikan bekalan makanan yang stabil dan berdaya tahan,” kata Dr. Shahrul dalam kenyataannya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada BDA atas kepercayaan yang diberikan kepada UPMKB dalam melaksanakan projek berkenaan.

“Adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan BDA, sebuah organisasi yang berkongsi visi kami dalam membina masa depan lestari untuk Bintulu dan Sarawak. Saya yakin kerjasama ini akan terus berkembang, mengukuhkan komitmen terhadap penyelesaian inovatif dan kesejahteraan komuniti,” tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BDA, Datuk Haidar Khan Asghar Khan, menyatakan bahawa kajian kebolehlaksanaan merupakan fasa pertama dalam usaha mencari penyelesaian mampan bagi pengurusan sisa makanan.

“Kita sedang merealisasikan idea dan strategi, jadi harapan saya agar projek ini berjaya direalisasikan serta diteruskan dalam jangka masa panjang untuk menjadi contoh terbaik kepada komuniti lain di seluruh Malaysia,” kata Datuk Haidar.

Beliau turut berharap inisiatif itu dapat menjadi titik permulaan untuk berkongsi idea, menyokong satu sama lain dan bekerjasama mencipta masa depan yang lebih baik demi kestabilan serta kesejahteraan alam sekitar.

Kerjasama antara UPMKB dan BDA menandakan langkah proaktif dalam membentuk persekitaran lebih mampan serta menggalakkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sisa makanan yang lebih cekap.

Dalam pada itu, pengusaha Environment Metal Engineering, Jordan Lau Hsien Loong, yang juga merupakan alumni UPMKB, menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah awal ke arah kelestarian dalam mengurangkan pembaziran makanan di Bintulu.

“Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengurangkan sisa makanan tetapi juga membantu menangani perubahan iklim, memandangkan pembaziran makanan merupakan salah satu penyumbang utama kepada isu tersebut,” jelasnya.

Selain itu, Sales & Marketing Executive Park City Everly Hotel, Florence Menun Nyalang, menyatakan bahawa inisiatif tersebut selari dengan amalan semasa industri perhotelan dalam mengurangkan pembaziran makanan.

“Di hotel, kami telah mula mengasingkan sisa makanan bufet ke dalam tong pengkomposan bagi makanan yang boleh dikitar semula. Namun, buat masa ini, kami masih belum mempunyai sistem khas atau syarikat yang menguruskan sisa makanan tersebut dan ketiadaan gudang untuk melakukan proses pengkomposan menjadi cabaran utama,” katanya.

Menerusi program yang dijalankan, UPMKB dan BDA berharap ia dapat menjadi model rujukan dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sisa makanan di seluruh Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM