TITI TINGGI, 21 Februari- Komuniti Kampung Titi Tinggi Hulu menyahut seruan kerajaan untuk memanfaatkan dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) sebanyak RM80,000 dengan memulakan projek ternakan lembu fidlot.
Projek yang dimulakan sejak sebulan lalu menjadikan 17 ekor lembu pedaging sebagai perintis menjana pendapatan yang mampu meningkatkan ekonomi setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Parlimen Padang Besar Ruzaini Rais berkata, projek yang diusahakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Tinggi Hulu dan penduduk setempat akan mula menuai pulangan hasil apabila lembu berkenaan dijual pada sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.
"Ia dijangka menjana pendapatan mencecah hingga RM2,000 setiap bulan selain memperluas projek itu untuk manfaat kepada penduduk Kampung Titi Tinggi Hulu.
"Melihat kepada prospek pemasaran bekalan daging lembu tempatan, harapan lebih cerah untuk memohon peruntukan tambahan bagi meningkatkan jumlah ternakan selain menjamin bekalan daging lembu tempatan sentiasa ada di pasaran," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Program Penternakan Lembut Fidlot di Kampung Titi Tinggi Hulu di sini.
Menerusi projek itu ia dapat mengukuhkan kerjasama antara penduduk selain dapat bersama-sama berkongsi idea bagi memajukan projek penternakan lembu fidlot.